All News

Operasi Pematuhan Peraturan Lalulintas

SINTOK – 22 September 2021 Jabatan Keselamatan telah mengadakan operasi penguatkuasaan peraturan lalulintas di Pos Utama, Universiti Utara Malaysia bermula jam 1200 hingga 1400hrs. Operasi ini dijalankan melibatkan tiga pegawai dan 8 anggota bersama Pengarah Jabatan Keselamatan. Pemeriksaan dilakukan ke atas semua jenis kenderaan yang keluar dan masuk ke kampus dari segi lesen memandu, cukai jalan dan penguatkuasaan pelekat kenderaan UUM ke atas staf, pelajar dan pekerja luar yang bekerja di dalam kawasan kampus.

                Dalam operasi tersebut, pihak Keselamatan mendapati masih ada pekerja kontrak dan pengusaha kafe yang bekerja di dalam kawasan kampus tidak mempunyai pelekat kenderaan UUM dan tidak mempunyai pas pekerja sementara di dalam kawasan kampus selain terdapat individu yang memandu kenderaan tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh. Dalam masa yang sama juga, pihak Keselamatan memastikan semua staf, pelajar, pekerja luar dan pelawat yang memasuki kawasan kampus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak penularan wabak Covid-19 dengan pemakaian pelitup separuh muka, pemeriksaan suhu badan dan mengimbas MySejahtera bagi pelawat yang memasuki kawasan kampus.

                Pihak Keselamatan akan terus membuat operasi yang sama di pintu masuk kampus dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan warga kampus terjamin dan mengelak penularan wabak Covid-19 di dalam kawasan kampus. Ini juga selaras dengan arahan daripada Menteri Pengajian Tinggi bagi memastikan hanya staf akademik dan bukan akademik, pelajar dan individu yang lengkap dos vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja dibenarkan memasuki kampus bermula 15 Oktober 2021 semasa kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus. Operasi yang dijalankan tamat jam 1400hrs.